Saya Sedang Membaca

The Consuming Fire oleh John Scalzi | Pemberontak Filem oleh Nasir Jani | The Prague Cemetry oleh Umberto Eco | Confessions of a Mask oleh Yukio Mishima | In Search of Modernity: A Study of the Concepts of Literature, Authorship and Notions of Self in "Traditional" Malay Literature oleh Hadijah Rahmat |

Thursday, June 28, 2012

Tulis, Goddammit!

Memang susah menulis, tetapi lebih susah "menjual diri".

Saya sudah menyiapkan sebuah manuskrip (masih kotor). Kawan-kawan mohon saja hantar diterbitkan. Tetapi saya tidak mahu, saya menunggu buat sayembara (yang sesuai). Kadang-kadang diri ini memberontak, tidak mahu acap mulia dengan kredo "menulis lillahitaala dan berkongsi ide buat masyarakat". Saya juga mahu duit, saya juga mahukan "penilaian" nama.

Sayembara jawapannya buat itu.

Kini saya dalam proses pengeraman lagi. Tika yang amat membosankan, tetapi perlu dilalui (reda?) kerana ada sang penerbit sudah memohon dan memohon. Saya rasa malu kerana sudah lama menyampai janji. Syukur, sekurang-kurangnya ada yang mahu.

Saya juga tersengih sendirian, seronok malah, akhirnya wujud persaingan sihat majalah pengisian sastera lagi (dan kali ini harap tidak mati seperti Karya, Mastika, Penulis, Akar, S.O.S.) berjudul Sastera & Warisan (konsep bagus kerana tidak terikat dengan dikotomi susastera sahaja) dan kali ini daripada GAPENA, sang kesatuan gergasi nasional yang tidak dipeduli oleh sebilangan anak-anak muda khusus bawah tanah. Diharap dengan kemunculan majalah ini (yang dikatakan akan tersebar luas di setiap sekolah, oh, ada bahan mendidik KOMSAS di dalamnya, sesuatu yang dulu dikutuk-kutuk oleh sebilangan sasterawan apabila Dewan Sastera memperkenalkan ruangan pendidikan sastera buat STPM) akan berlaku adillah anak muda terhadap persatuan penulis terlama ini yang sememangnya sudah banyak mencuba berbakti buat bahasa dan sastera tanah air.

Tetapi saya tersentak pada satu bahagian kolumnya, seorang penulis (takah tengah) berkobar-kobar memaukan digembleng terus bengkel-bengkel "buat semua golongan penulis" agar kemunculan adikarya itu boleh terlaksana.

Bengkel! Bengkel! Bengkel! Bentak sang sutrapena.

Sebenarnya, penulisan itu satu perjalanan yang begitu jauh, dan bengkel merupakan hanya satu perhentian yang tersusunlah lorong-lorong pandu lalu yang mengesyorkan perlbagai ilham dan semangat. Bengkel tidak semestinya perhentian bangunan menara serba pancawarna yang memberikan kesemuanya kepada penulis. Penulis haruslah mencari suara sendiri, dan jalan itu panjang.

Bengkel, jika dibandingkan dengan kelas, kelas lebih bermakna. Kelas lebih panjang dan setentunya "membina". Tiada jalan pintas. Lihat sahaja kejayaan Kapezi mengeluarkan hasilnya. Berapa kali mereka bertemu, berapa lama sang guru mengajar, mengherdik dan menutuh anak muridnya sehingga pandai? Tash Aw belajar kelas penulisan kreatif untuk menulis lalu menulislah dia. Lima jam atau dua hari tidak boleh memandaikan orang.

Sebab itu secara peribadi, saya kurang suka menyertai bengkel penulisan.

Saya selalu masuk bengkel penulisan dan akhirnya bergaduh (akal), ada sahaja yang dirasakan perlu diperhalusi, diteliti. Antara yang menyakitkan, satu sesi di mana saya memperkenalkan satu ide untuk sebuah novel sai-fai lantas bengkel (demi membangkitkan sastera kebangsaan) itu separa senyap dengan kemunculan "janggal" saya di depan para hadirin yang selebihnya realisme, naturalis dan kemasyarakatan. Malah pembimbing terus menyelar "genre itu bolehlah untuk remaja dan kanak-kanak". Begitulah. Lalu begitulah bagaimana Di.Ar.Ti Rahmat Haroun dipanggil "novel perubatan" dan Manuklonnya dipanggil "futuristik" tanpa memahami apa sebenarnya suaranya.

Saya tidak pula menyatakan bengkel itu "membuang masa", malah antara kebaikan bengkel adalah pertemuan kami anak setahun jagung dengan nama-nama besar susastera dan itu begitu menjanjikan warna-warna, seperti pertemuan bersama janggut dan rambut putih A. Samad Said (persis John Lennon!) atau cermin mata tanpa kopiah arwah Azizi Hj Abdullah mahupun kelangsungan gatal Othman Hj. Zainuddin mengadaptasi  Lady Chatterley's Lover, mahupun beberapa penulis popular seperti semangat gila-gila Ramlee Awang Mursheed. Ah, itu yang saya hargai. Dan satu lagi adalah "penampilan" diri kita terhadap rakan-rakan penulis lain, satu "perhubungan" tercipta, saya yang tidak kenal sebilangan penulis muda waktu itu yang kini menjadi kawan-kawan akrab dan sayang.

Tetapi tidak semua yang keluar dari bengkel itu menulis lalu menghasilkan.

Saya memerhati Ridhwan Saidi, seorang enigma bagi dunia lazim susastera. Cakaplah apa yang anda ingin cakapkan tetapi "budak ini" akan ke satu tahap pada masa depan. Kini pun sudah menempa nama. Dia ada di bengkel menulis? Tidak. Dia rajin.

Ridhwan punya ideal dan idealis. Itulah yang paling penting, buat mana-mana penulis pun. Dia pegang hingga bara ide itu, berdiri teguh dalam blognya (inilah "bengkel" semula jadinya yang membinanya berulang-ulang tanpa henti), membalas hujah, menegakkan "kebenaran" yang dia tahu. Hujah, pergaduhan dalam blog, perbincangan-perbincangan intelektual, inilah yang mematangkan Ridhwan, serta dalam pemikirannya, "I can do this better than you - ", yeap semua penulis ada "ego" itu, dan lihatlah tiga novel sudah terhasil daripada air tangannya.

Dunia adab penulisan moden berlainan dengan zaman dahulu. Dahulu adalah zaman di mana yang alim dan mengerti, dengan bertahun-tahun melalui pembelajaran dan berguru berpuluh-puluh orang lalu baru terinspirasi menghasilkan karya-karya besar untuk kebajikan masyarakat, tidak pernah buat dirinya. Tertibnya kuat dengan pengisian lama dan terhormat, sehingga menghafal dan melakukan. Dari titik itu selalunya "ide baru" keluar yang kadang-kala menyanggah pemikiran guru - ide baru zaman, menyegarkan. 

Ini berlainan dengan "perguruan" penulis moden sekarang yang sebenarnya "berguru" dengan buku-buku, yang sememangnya berhaluan lebih individualis, lebih perlu bertegak sendiri dengan keinginan "sendiri" walaupun kelihatan berjuang untuk "kelompok". Bengkel sebenarnya adalah "alasan" untuk memperkenalkan "diri" lagi kepada kelompok-kelompok yang sama, kali ini secara fizikal. Bukankah hal ini sudah berkali-kali dilanggar sekarang dengan kemunculan media sosial yang serba tanpa sempadan? Penulis tidak boleh menipu lagi, segalanya di hujung jari dengan ejaan w-i-k-i ataupun g-o-o-g-l-e. Inilah guru dan perujuk sebenar. Dan bengkel hanya "mengiyakan" proses itu.

Yang penting sekarang sebenarnya wahai penulis adalah "terus menulis" dan berpegang pada diri "ini sesuatu" dan "aku ada sesuatu". Bengkel adalah tempat untuk "berkongsi ide" ini sebenarnya, mengujinya (yang mana, orang seperti Stephen King mempunyai isteri dan editor untuk berkongsi), melihat jika "he/she's going somewhere with this" atau "that wont work".

It's either you have it or you don't.

Jadi, menulislah dan terus menulis.

5 comments:

Ami Manaf said...

"menulislah dan terus menulis..."
aku suka ayat tu...

Jimi said...

Terima kasih akan penulisan ini, membaca ruangan tuan, sebahagian dari bengkel saya juga.

Sejahtera, tuan.

srirahayumohdyusop said...

SOS sudah tiada? Terlalu singkat pertemuan kami.

Taf Teh said...

Agaknya dalam umur sekitar 30an, kita sudah boleh mengagak, "It's either I have it or not."

Tetapi ada gak penulis dari kategori late bloomer... Lembab dan lambat mcm siput babi merayap di pasu bunga... Hehehe ni sekadar nak tolong dok sedapkan hati2 penulis2 yang masih belum ada buku yang meletup...

fadz said...

Dan saya menunggu Taf The mengirimkan sajaknya utk Dewan Sastera.